Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak akan ditangguhkan sehingga 2018.

Jelasnya, ia salah lapor sebuah agensi berita mengenai komennya berhubung tarikh mengadakan pilihan raya.

"Pengalih bahasa Jerman itu tidak faham. Saya kata pilihan raya tidak akan ditangguhkan ke 2018," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah agensi berita Jerman telah memetik Datuk Seri Najib sebagai berkata bahawa pilihan raya tidak akan diadakan sebelum 2018.

Mengulas isu persempadanan semula, Datuk Seri Najib memberitahu MT UMNO akan membuat cadangan balas Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor dan akan diselaraskan ke semua bahagian di negeri-negeri untuk dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan sehingga 14 Oktober ini.

Datuk Seri Najib dalam pada itu memaklumkan UMNO pada prinsipnya bersetuju dengan cadangan Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), Datuk Paul Low Seng Kuan terhadap satu akta baharu iaitu penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik bagi menangani isu berkaitan politik wang yang telah lama wujud.

Tahun lalu, Datuk Seri Najib menjadi tumpuan berhubung isu RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ia sumbangan penderma.

Susulan itu, Datuk Seri Najib menubuhkan JKNMPP pada 14 Ogos tahun lalu dalam usaha membuat penambahbaikan bagi memenuhi keprihatinan orang ramai berhubung isu integriti dalam pembiayaan politik.