Wakil rakyat pembangkang hanya menggunakan isu alam sekitar sebagai tipu helah bagi memenangi pilihan raya.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ahli politik pembangkang hanya bersuara mengenai isu masyarakat tempatan, terutamanya alam sekitar apabila menjelang musim pilihan raya.

Liow yang juga ahli parlimen Bentong memberi jawapan sinis kepada pertanyaan mengenai pengumuman DAP untuk membariskan Wong Tack sebagai pencabarnya sekali lagi di kawasan tersebut.

“Apa yang Wong Tack sudah buat untuk masyarakat di Bentong? Apa guna orang yang tidak pernah melawat kawasan? Mungkin sekarang mereka nampak dia semula di kawasan Bentong, tapi dia bukan selalu ada di sana.

“Wong Tack dahulu kuat memperjuangkan isu kilang Lynas di Gebeng, Kuantan, sehingga menakut-nakutkan penduduk tetapi sekarang sudah senyap.

“Kenapa dia senyap? Sebab Lynas pun sekarang sudah diberi pengiktirafan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Lynas sekarang sedang menyaman Wong kerana apa yang dilakukannya dahulu,” jelas Liow.

Liow turut menyoal mengapa Wong Tack yang memimpin Himpunan Hijau suatu ketika dahulu tidak melawat Pulau Pinang dan melihat sendiri bagaimana alam sekitar di negeri itu tercemar akibat tindakan kerajaan negeri.

“Mengapa dia (Wong) tidak mahu ke Pulau Pinang dan menyoal kenapa bukit-bukit sudah dibotakkan, air sungai menjadi hitam kerana kilang-kilang dan sebagainya?” kata Liow.

Beliau yang ditemui sewaktu Majlis Ramah Mesra MCA Temerloh itu turut memberi pendapat mengenai tindakan Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah yang menarik diri daripada bertanding pada Pilihanraya Umum ke-14.

“Leong sudah tidak mahu bertanding bukan kerana apa. Dia sudah lama di Triang kemudian dia pergi ke Tanah Rata, Cameron Highlands. Sudah jadi resam orang DAP untuk lompat dari satu tempat ke satu tempat lain.

“Dia tidak boleh menang di Tanah Rata sebab itu dia tidak mahu bertanding. Biasalah itu,” katanya.

Menteri Pengangkutan tersebut turut menjelaskan bahawa parti pembangkang DAP tidak mampu bertahan lama di sesuatu tempat kerana wakil rakyatnya tidak mahu membantu masyarakat terutamanya orang Melayu.

Tambahnya MCA sudah lama bekerjasama dengan orang Melayu dan membantu mereka tidak kira di mana mereka berada.

“Bila ada masalah kaum Cina, DAP tidak teragak-agak untuk menolak perkara itu pada MCA dan berkata itu tanggungjawab kami. Tetapi kami membantu semua termasuk orang Melayu.

“Sejak zaman kemerdekaan lagi MCA telah bersama orang Melayu membangunkan negara ini,” katanya.

Mengulas tindakan DAP bertanding menggunakan logo PKR, beliau menyelar DAP sebagai parti tiada maruah yang sanggup berbuat demikian demi memperalatkan orang Melayu.

“Mereka tahu bahawa mereka boleh kalah jika bertanding menggunakan logo sendiri. Mereka sedang memperkudakan Keadilan di hadapan mata kita sendiri dan mempergunakan orang Melayu untuk menang kali ini.

“Ini memang taktik mereka kerana mereka fikir 85 peratus pengundi Cina sudah berada di poket mereka,” katanya.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, Pengerusi MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun dan Ketua MCA Temerloh Datuk Wong Tat Chee.