Pakatan Harapan mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad bakal bertanding di Parlimen Langkawi selepas kali terakhir berentap dalam pilihan raya umum (PRU) 19 tahun lalu.

Pengumuman itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan Dr Mahathir sudah memberi bayangan bakal bertanding di kawasan berkenaan.



Ramai juga mengaitkan pemilihan Dr Mahathir dibuat berdasarkan populariti beliau yang membangunkan Langkawi sebagai satu destinasi pelancongan utama negara.

Bagaimanapun, pemilihan ini bukan bermakna Dr Mahathir memperoleh laluan mudah di Langkawi.

Kalau dilihat daripada angka, Parlimen Langkawi boleh dianggap sebagai kubu kuat BN.

Penyandang kerusi berkenaan Datuk Ir Nawawi Ahmad menang pada PRU13 dengan majoriti 11,861 undi.


Ia merupakan peningkatan majoriti ketara berbanding PRU12 yang ditandingi oleh Datuk Abu Bakar Taib yang memperoleh majoriti 4,970.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Fuad Othman berpendapat BN harus meletakkan calon yang benar-benar berwibawa sekiranya mahu menghalang Dr Mahathir daripada kembali ke Dewan Rakyat.

“Pendekatan BN untuk Langkawi ini perlu bersifat holistik. Bukan sahaja BN perlu ceritakan kepada rakyat tentang manifesto dan rancangan mereka, ia juga bergantung kepada gerak kerja di lapangan pada ketika ini dan ia juga bergantung kepada calon.

“Calon manakah yang dirasakan BN boleh memberi impak, kalau tidak lebih tetapi sama besarnya kepada pengundi dengan Dr Mahathir,” kata beliau.

Persoalannya, siapa yang paling layak mewakili BN di Langkawi?