Undi Melayu dalam PRU14 nanti, diibaratkan nilainya seperti emas di mana semua parti bertanding akan berebut-rebut untuk ‘membeli’ undi mereka.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, undi Melayu penting kerana ia antara penentu kepada kemenangan sebuah parti dalam memenangi pilihan raya.

Kerana itu semua parti yang akan bertanding dalam PRU14 nanti, kini dilihat berlumba-lumba untuk mendapatkan undi mereka.

“Harus diingat, bahawa kejayaan ‘pembelian’ undi Melayu itu akan bergantung kepada strategi parti yang bertanding, bagi saya undi Melayu itu bergantung... saya percaya pengundi Melayu kelas menengah di bandar sebahagian besarnya akan mengundi Pakatan Harapan (Harapan) manakala pengundi Melayu di kawasan tradisi Melayu (bergantung kepada negeri) saya masih percaya majoriti mereka akan terus mendukung Umno.

“Terutama Melayu luar bandar di negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan di Terengganu (sokong Umno), tetapi kedudukan agak berbeza di Kedah, saya percaya disebabkan pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang kuat, pengundi akar Melayu itu akan mengundi Harapan, manakala di Kelantan, pengundi Melayu akan terus sokong Pas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas, sikap pengundi Melayu kini berhubung pilihan parti mana untuk mereka undi dalam PRU14 nanti.

Sementara itu, mengulas mengenai potensi parti-parti bertanding dalam PRU14 nanti, Jeniri berkata, peluang masih memihak kepada BN, namun peluang kepada pembangkang tetap ada.

“Kelantan akan kekal di bawah Pas, manakala di Kedah keadaan genting untuk BN, pengaruh Tun Mahathir dalam kalangan kelompok tua, manakala pengaruh Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi golongan muda amat-amat kuat di negeri itu, jadi kita tak boleh nak pukul rata katakan coraknya sama kerana ia berbeza.

“Meskipun berdepan cabaran, akhirnya berdasarkan apa yang berlaku BN punya kekuatan dan harapan untuk menang,” katanya.

Jelasnya, antara sebab yang membolehkan BN terus kekal memerintah adalah berdasarkan pertandingan tiga penjuru, langkah persempadanan semula dan selagi Sabah dan Sarawak ada di belakang BN.

“Selagi itulah BN ada harapan, harus diakui kekuatan BN adalah jentera akar umbi mereka yang mantap berbanding jentera pembangkang,” katanya.’

Dalam pada itu katanya, skandal 1MDB tidak memberi impak kepada BN kerana isu itu sukar untuk difahami oleh rakyat kebanyakan.

“Isu ini sudah basi dan tidak menyerap dalam politik luar bandar, harus diingat banyak kerusi yang dipertandingkan berada di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu mengulas elemen penting yang perlu ada dalam sesebuah parti itu untuk menang dalam pilihan raya, katanya calon parti, dan isu akan mainkan peranan penting.