Muafakat Nasional (MN) Selangor sudah menyelesaikan 90 peratus pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bagaimanapun menegaskan, keputusan akhir hanya akan diputuskan pihak pimpinan parti di peringkat pusat.

"Tetapi kami di peringkat negeri Selangor, kami dengan Pas, agihan kerusi sesama kami, saya katakan hampir 90 peratus telah pun selesai di peringkat kami. Tetapi saya kena akur apa juga keputusan akhirnya nanti akan dibuat oleh pimpinan pusat.

"Jadi bagi kami di Selangor, Muafakat Nasional lebih mudah kami membuat aktiviti-aktiviti bersama. Ini aktiviti-aktiviti parti, dia kena beza itu, Muafakat Nasional adalah kerjasama di antara parti, Pas dengan UMNO, sudah ada satu Memorandum Persefahaman (MoU) kita sudah tandatangani dan disaksikan oleh ribuan ahli UMNO dan Pas," katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu tidak lagi menyertai gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menjelaskan, kedudukan Muafakat Nasional di Kelantan amat baik dengan kerjasama yang erat antara UMNO dan Pas.

"Dalam Muafakat Nasional ini di Kelantan jelas, tidak ada pertikaian di kalangan pemimpin UMNO di Kelantan, bahawa untuk Muafakat Nasional ini kita bersedia untuk menyerahkan pimpinan kerajaan negeri kepada Pas, kita akur bahawa sudah 30 tahun Pas memerintah Kelantan dan perkara ini akan kita teruskan.

"Kita yakin sudah tentu kalau selepas PRU nanti, kita akan menerima layanan sebaiknya dari Pas dalam satu hubungan membentuk kerajaan negeri.

Pada Rabu, ada pertemuan tertutup diadakan antara Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung selama sejam di bangunan Parlimen.

BACA: Bersatu zahir hasrat sertai Muafakat Nasional - Ahmad Zahid

Ahli Parlimen Pagoh itu dalam pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen BN itu dilaporkan telah menyatakan hasrat Bersatu untuk menyertai MN.

Bagaimanapun kata Zahid, hasrat Bersatu itu akan dirbincangkan dengan pihak Pas untuk diperhalusi.