Jika benar Radhi Mat Din akan dinamakan sebagai calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pokok Sena pada pilihan raya umum akan datang (PRU14), ia tidak lain hanya bertujuan mengambil hati golongan muda, kata Ketua Pemuda UMNO Kedah.

Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan tindakan itu satu strategi parti pembangkang yang "masih celaru" dan hanya akan menganiayai rakyat.

"Kita tidak boleh mengundi sesebuah kerajaan berdasarkan kepada ikon semata-mata," katanya merujuk kepada status Radhi sebagai satu nama besar dalam arena bola sepak tanahair.

Shaiful Hazizy berkata, ia satu tindakan yang salah.

"Kalau kita mengundi bersandarkan kepada ikon semata-mata, ikon tersebut tak boleh buat kerja, ikon tersebut tak boleh menyelesaikan masalah rakyat.

"Bagi saya, apa yang akan jadi selepas ini ialah, rakyat yang akan teraniaya.

"Jadi, saya nasihatkan rakyat negeri Kedah, jangan jadikan ikon itu sebagai ukuran yang utama untuk memilih calon. Sebaliknya, pilih parti yang ada 'track record'," katanya.

Beliau ditemui Astro AWANI pada majlis gerak gempur dan konvoi Barisan Nasional Parlimen Sungai Petani di Pantai Merdeka.

Katanya, Barisan Nasional dan UMNO merupakan parti yang mempunyai masa depan berdasarkan kepada perancangannya dan sejarahnya.

"Kita dah ada perancangan kita. Kita dah ada 'track record' kita. Dan paling penting sekali, kita adalah parti yang paling stabil di antara parti-parti lain," katanya.

Tambahnya, kerajaan sekarang adalah berjiwa rakyat dan rakyat kini sudah bijak menilai.

Pada Selasa, Astro AWANI melaporkan, nama Radhi antara yang disebut-sebut sebagai calon Pas bagi DUN Pokok Sena pada PRU14 akan datang.

Radhi yang ditemui turut mengakui, beliau ada membantu parti itu dalam mendekati golongan muda melalui sukan bola sepak.