Menyambut baik seruan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengenai pengisytiharan harta, Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli pada Khamis menyatakan kesediaannya berbuat demikian.

“Secara peribadi, saya sentiasa percaya bahawa ahli-ahli politik perlu hidup secara sederhana agar mereka dapat merasai susah payah rakyat.

“Hanya dengan cara itu ahli-ahli politik dapat menjadi suara rakyat yang berkesan dan tidak terpisah dengan permasalahan rakyat,” ujarnya.

Rafizi disaran berbuat demikian oleh Syed Ali sebelum Ahli Parlimen Pandan itu terus mengkritik kekayaan Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan Barisan Nasional yang lain.

Dalam kenyataan media tersebut, Rafizi akan membuat satu akuan bersumpah yang akan menyenaraikan perkara-perkara seperti kedudukan harta dan hutang terkini ; latar belakang pendapatan dan kerjaya sebelum menjadi ahli politik; pendapatan bulanan sebagai ahli politik; dan perbelanjaan bulanan sebagai ahli politik.

“Akuan bersumpah yang mempunyai maklumat ini akan saya edarkan di ruang lobi Parlimen pada 10 Mac 2015 untuk memberi masa kepada saya mengumpulkan semua maklumat ini berserta dokumen bukti,” ujanya.

Rafizi berharap, setelah pengisytiharan tersebut dibuat, Syed Ali dapat memimpin kempen dalaman UMNO supaya semua pimpinan UMNO bertaraf menteri ke atas membuat pengisytiharan yang sama.

“Saya percaya budaya mengisytiharkan harta perlu disemarakkan dan menjemput lebih ramai ahli Parlimen dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mengambil langkah yang sama,” katanya.