Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mengajak masyarakat untuk meraikan semangat Aidilfitri dengan saling bermaafan dan kembali bersatu tanpa mengira latar belakang politik.

“Kita mempunyai banyak pertembungan antara satu sama lain semasa pilihanraya.

“Saya merasakan bahawa hari raya adalah peluang terbaik untuk kita kembali bermaafan dan bersatu tanpa mengira perbezaan parti politik,” katanya dalam satu temu ramah bersama Astro AWANI, baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengalamannya menyambut Hari Raya Aidilfitri, Yeo yang pernah menjadi ADUN Damansara Utama itu tidak mungkin melupakan kenangan beliau mengunjungi mereka yang tidak berkemampuan untuk menyambut lebaran.

“Saya melawat orang susah yang beraya dengan keperluan yang ada. Oleh itu kita kena kenal pasti jiran-jiran kita yang tinggal berseorangan dan pergilah menziarahi mereka menjelang hari raya.” tambahnya.

Suasana hari lebaran Yeo turut dirasai dengan persiapan membeli pakaian baharu menjelang Hari Raya.

Mengakui meminati warna merah, beliau turut mempunyai koleksi pakaian tradisional masyarakat Melayu seperti kebaya selain memiliki koleksi baju kurung potongan moden yang diminatinya.

Ini ucapan hari Raya dari Yeo.