Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim sedia menggalas tugas yang diamanahkan pucuk pimpinan parti untuk menyusun semula parti itu selepas pembubaran parti peringkat negeri itu hari ini.

Katanya, beliau dan timbalannya, Eddin Syazlee Shith yang dilantik dikekalkan dan diberi tugas memulihkan parti itu serta menyusun semula parti supaya bergerak dengan efisien, adil dan saksama.

"Beri saya tempoh tiga bulan untuk saya laksanakan 'kerja rumah' ini," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama ahli Bersatu negeri di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Eddin, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Rais, bekas Penasihat Budaya Kerajaan, berkata beliau akan mendengar maklum balas daripada lapan bahagian di negeri itu serta mengenal pasti jumlah keanggotaan sayap Pemuda Armada dan Srikandi.

Beliau mengulas pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bahawa tindakan pembubaran itu diambil atas nasihat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai antara satu cara menyelesaikan masalah dalaman parti di negeri itu yang berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan.

Rais, yang juga bekas Anggota Parlimen Rembau, berkata parti itu mengadakan kursus bina semula semangat dan perjuangan parti mengikut slogannya iaitu Bersatu, Bermaruah, Beramanah.

"Mana-mana ketua bahagian yang didapati mementingkan diri atau memainkan sistem nepotism, rasuah dan tidak memberi sepenuhnya kepada tuntutan parti akan dikenakan tindakan tegas," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Bersatu tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan UMNO dan menolak sebarang salah laku termasuk penyalahgunaan wang, politik wang dan nepotisme.

Mengenai pelantikan lapan ketua bahagian Bersatu, beliau berkata satu rundingan akan diadakan dengan kepimpinan pusat untuk menerima atau menolak calon yang dicadangkan oleh Negeri Sembilan.

-- BERNAMA