Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Mohd Anuar Mohd Tahir mengakui ada bezanya bercakap sebagai ahli politik, dengan bercakap sebagai ahli pentadbir negara kerajaan memerintah.

Namun, ujar Timbalan Menteri Kerja Raya itu, beliau percaya rakyat akan memahami kesulitan kerajaan Pakatan Harapan dalam mentadbir negara, terutamanya mengenai 10 hari janji Pakatan Harapan dalam masa 100 hari.

“Rakyat cerdik, dan rakyat tahu bahawa negara ini tak mudah ditadbir dengan fiskal yang ada sekarang…dan mereka tahu dalam tempoh 3 bulan seratus hari tak mungkin semua dicapai on the dot.

“Tetapi ya, kita buat setakat yang terdaya, yang lain akan kita laksanakan, janji-janji yang besar kita kena lihat, jangan lihat hal ini saja. Cuba lihat pada janji kita, reformasi institusi dalam negara, kebebasan dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Statistik, Indeks Dalam Pembinaan dan Automasi (SICA), anjuran Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di ibu negara, hari ini.

Ujarnya lagi, kebebasan bersuara yang kini mampu dinikmati rakyat, hasil keterbukaan Kerajaan Persekutuan, adalah lebih jauh bernilai harganya.

Mohd Anuar, yang juga ahli Parlimen Temerloh, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya Baru Bian, bahawa kerajaan masih tidak dapat memansuhkan tol memandangkan kos pampasan boleh mencecah sehingga RM400 juta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, adalah sukar untuk membayar pampasan setinggi itu memandangkan kerajaan kehilangan sejumlah sumber punca kewangan yang besar selepas kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah disifarkan, manakala cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) masih belum diluluskan di peringkat Parlimen.

Mohd Anuar berkata, atas sebab kesukaran itu, Pakatan Harapan tidak meletakkan perkara memansuhkan tol sebagai antara 10 janji dalam tempoh 100 hari pertama mereka memegang tampuk pemerintahan.

Buat masa kini, hanya dua daripada 10 janji tersebut berjaya dilaksanakan mereka, iaitu memansuhkan GST dan menstabilkan harga minyak, manakala selebihnya sedang berjalan.