Proses pengundian awal bagi Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) 2019 di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di sini, hari ini mendapat sambutan positif daripada rakyat Indonesia yang berada di daerah ini.

Menurut mereka, perkhidmatan kaunter kali ini lebih tersusun dan mesra.

Mattias Boling, 32, yang berasal dari Flores berkata, ini merupakan kali kedua dia mengundi untuk Pemilu dan memuji pihak pentadbiran KJRI Kota Kinabalu yang mengendalikan kaunter secara berkesan.

"Pengalaman saya dahulu (ketika mengundi) tidak seperti ini, tetapi hari ini sangat baik, layanan cukup mantap.

"Sebagai rakyat Indonesia, saya sangat berbangga kerana hari ini saya dapat menunaikan tanggungjawab saya. Saya harap calon yang terpilih akan berusaha untuk membentuk Indonesia yang lebih maju," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Di KJRI Kota Kinabalu yang terletak di Lorong Kemajuan, Karamunsing, sebanyak 19 kaunter mengundi dibuka hari ini bagi melancarkan proses pengundian awal bagi Pemilihan Presiden (Pilpres) dan Pemilihan Legislatif (Pileg) Indonesia bagi penggal 2019-2024

Lebih 50 peratus daripada 11,827 warga Indonesia yang layak mengundi hari ini dijangka menunaikan tanggungjawab mereka melalui kaedah Kotak Suara Keliling (KSK) dan Tempat Pemungutan Suara (TPS), bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang.

Sementara itu, pelajar pertukaran Indonesia ke Malaysia, Maulida Nur Azizah Faharudin, 20, amat teruja untuk menunaikan tanggungjawab pertamanya sebagai pengundi, apatah lagi berada jauh di perantauan.

Maulida yang berasal dari Perkalongan, Jawa Tengah itu berkata, suasana di KJRI Kota Kinabalu seakan-akan dia mengundi di kampung halaman sendiri selepas dapat bertemu dengan ramai rakan-rakan senegaranya di situ.

"Amat senang sekali mengundi sambil dapat bertemu dengan saudara-saudara Indonesia di sini.

"Rasanya luar biasa dan ternyata Pemilu 2019 sangat besar di sini,” ujarnya.

Maulida, pelajar tahu satu Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaysia Sabah, turut berharap Pemilu 2019 dapat mengelakkan perpecahan rakyat meskipun siapa sahaja calon presiden yang dipilih pada 17 April nanti.