Kerjasama antara dua parti Melayu dan Islam terbesar di Malaysia merupakan sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata kerjasama dua parti itu kini lebih teratur dan kemas berbanding sebelum ini dan terdapat beberapa faktor sebelum ini yang menyebabkan kerjasama antara Pas dan UMNO tidak berlaku.

Beliau menjelaskan, beberapa perkara telah dipersetujui dalam mesyuarat pertama kerjasama Pas dan UMNO yang melibatkan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

"Kita dah setuju tiga perkara dalam mesyuarat. Pertama, kalau ada pilihan raya kecil sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, kita satu lawan satu, kalau UMNO yang bertanding dulu dan ada kekuatan, kita bagi laluan. Kalau Pas ada kekuatan, UMNO akan beri laluan.

"Yang kedua melibatkan isu, kita akan selaraskan isu yang melibatkan ancaman kepada kedaulatan, kekuatan Melayu Islam dan kestabilan negara ini, akan ada kenyataan bersama antara Pas dan UMNO.

"Yang ketiga ialah penyelarasan dalam konteks Parlimen, kita duduk bersama dan bincang apa-apa isu berlaku, apa pendirian kita jika ada usul dibentangkan," katanya dalam satu temu bual dengan Astro AWANI.

Jelas beliau, kerjasama dua parti ini tidak menolak kepentingan parti yang mewakili kaum lain tetapi tunjang kerjasama politik ini melibatkan Pas dan UMNO.

Dari segi muafakat politik dengan UMNO, beliau menjelaskan terdapat beberapa negeri yang dilihat berpotensi untuk menjayakan kerjasama yang menguntungkan orang Melayu itu.

Mengulas pemilihan saf kepimpinan Pas pada muktamar tahunan ke-65 parti itu baru-baru ini, Tuan Ibrahim menjelaskan keharmonian dan kesepakatan ahli-ahli jelas kelihatan kali ini.

Kata beliau, keharmonian itu ditunjukkan dengan tidak ada pertandingan bagi jawatan-jawatan utama dalam kepimpinan dewan harian dan juga sayap-sayap parti.

Malah beliau menjelaskan kesepakatan yang ditunjukkan itu membuktikan bahawa Pas tidak menghadapi krisis atau polemik dalaman parti seperti parti-parti lain.

"Kita dah selesai satu masalah, kita tidak ada polemik dalaman parti, jadi kita boleh fokus kepada perkara yang lebih penting.

"Fokus kita sekarang ini ialah gerak kerja di luar parti, bagaimana kita mahu memperkasakan Pas sebagai parti penting pada masa hadapan.

"Ada tiga perkara, pertama kita fokus memperkasakan keahlian parti dan cawangan-cawangan baru, yang kedua memperkasakan hubungan dengan UMNO dan roadmap pilihanraya," katanya lagi

Beliau berharap ahli-ahli Pas terus istiqomah dengan perjuangan parti Islam itu dan memberi kerjasama dengan ahli dan pemimpin UMNO.