Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menegaskan bahawa tiada isu mengenai pembubaran parti UMNO seperti yang ditularkan, pada Selasa.

Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata struktur dan akar umbi UMNO Sabah masih kukuh dan utuh dalam memperjuangkan hak-hak bumiputra Sabah.

Tambah Ghazalie, walaupun menjadi lumrah politik pemimpin datang dan pergi namun UMNO Sabah masih kekal menjadi suatu entiti di peringkat pusat dan negeri.

"Soal UMNO dibubarkan tidak timbul. Desas-desus menyatakan riwayat UMNO Sabah sudah berakhir juga tidak benar.

"UMNO Sabah akan memiliki wajah serta tenaga baharu dan sehingga hari ini, Pemuda UMNO Sabah masih tetap menzahirkan sokongan penuh terhadap parti," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, sebuah laman portal mendakwa UMNO Sabah akan dibubarkan dan pengumuman tersebut bakal dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

BACA: 7,206 ahli UMNO keluar parti, sertai Warisan

Portal tersebut turut melaporkan empat anggota parlimen UMNO Sabah dijangka keluar parti bagi menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Kerajaan Persekutuan.

Empat ahli Parlimen tersebut ialah ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri, ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu, Hajiji ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan supaya semua pihak menunggu sebarang perkembangan pada sidang media yang dijangka diadakan esok.

"Tunggu sahaja sidang media yang akan diadakan esok," katanya ringks.

Hajiji akan membuat satu sidang media di Kota Kinabalu pada jam 1 petang Rabu untuk menerangkan situasi berkenaan.