Rizal Mansor sanggah Dr Mahathir

Rizal Mansor sanggah Dr Mahathir
Rizal turut menjelaskan kiraan kos sewaan sebanyak RM86 juta yang disebut Dr Mahathir tidak benar sebaliknya sekadar anggaran dibuat Naib Presiden PKR Rafizi Ramli. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor menyanggah tuduhan yang dibuat Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan membelanjakan RM86 juta untuk menyewa jet peribadi bagi kegunaan Rosmah berkunjung ke negara asing.

Kata Rizal, sebagai negawaran, Dr Mahathir tidak sepatutnya mendengar dan percaya kepada khabar angin yang cuba memburukkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam satu kenyataan mengulas isu pemergian Rosmah ke luar negara menggunakan pesawat kerajaan yang dikritik Dr Mahathir, Rizal berkata bekas perdana menteri itu sepatutnya menyemak dan menyelidik terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan.

"Sebagai seorang negarawan, Tun M seharusnya menyemak dan menyelidiki terlebih dahulu sesuatu perkara sebelum membuat tuduhan.

"Jangan letak kepentingan politik mengatasi hukum dan adab sehingga menimbulkan fitnah," katanya.

Video ucapan Dr Mahathir pada 2016 yang mengkritik pemergian Rosmah menggunakan pesawat kerajaan untuk ke luar negara disiarkan kembali oleh segelintir pihak.

Kata Dr Mahathir kerajaan membelanjakan RM86 juta untuk menyewa jet peribadi bagi kegunaan Rosmah berkunjung ke negara asing.
Rizal menjelaskan tuduhan bekas perdana menteri itu bersifat jahat serta cuba memesongkan pandangan rakyat kononnya isteri perdana menteri melakukan pembaziran.

"Sebenarnya kerajaan tidak menyewa pesawat tersebut khusus untuk Rosmah

"Pesawat udara ACJ319 dengan nombor pendaftaran A6-CJE itu ialah pesawat gantian yang disewa kerajaan Malaysia bagi kegunaan orang kenamaan negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong dan kenamaan lain," katanya.

Dalam kenyataan medianya, Rizal turut menjelaskan kiraan kos sewaan sebanyak RM86 juta yang disebut Dr Mahathir tidak benar sebaliknya sekadar anggaran dibuat Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

"Kiraan tersebut adalah tidak masuk akal kerana YB Rafizi mengambil kiraan kos penerbangan sebanyak RM60,000 sejam x 24 jam x 60 hari.

"Sudah tentu pesawat tersebut tidak terbang 24 jam setiap hari selama dua bulan," katanya lagi.

Menjelaskan lebih lanjut Rizal berkata kapal terbang itu disewa kerajaan Malaysia untuk tempoh Mei dan Jun 2016 sebagai gantian kepada pesawat udara ACJ320 yang ketika itu dalam proses penyelengaraan.

Menurut Rizal, Rosmah menggunakan pesawat tersebut untuk ke Istanbul, Turki bagi menerima penghargaan 3G Children Welfare Award bagi pihak PERMATA Negara.

Anugerah berkenaan kata Rizal lagi adalah kebanggaan negara sekali gus melambangkan kejayaan program PERMATA yang diilhamkan Rosmah.

"Rosmah bertolak ke Istanbul pada jam 12 tengahari pada 25 Mei 2016 dan tiba di Istanbul pada jam 8 malam (waktu tempatan) hari yang sama.

"Keesokan harinya (26 Mei) Rosmah menghadiri majlis penyampaian anugerah dan terus bertolak balik pada jam 11 malam untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang akan dirasmikan Raja Permaisuri Agong di Langkawi," katanya.

Disebabkan jadual yang padat itu kata Rizal tidak mungkin untuk isteri Najib itu menggunakan pesawat komersial dalam perjalanan berkenaan.

Secara kebetulan juga katanya kapal terbang itu tidak digunakan oleh sesiapa.

Rizal turut menjelaskan beg-beg yang kelihatan dibawa menaiki pesawat berkenaan bukanlah milik Rosmah semata-mata, sebaliknya membabitkan penumpang lain.

Katanya beg itu perlu dibawa ke dalam kabin kerana pesawat udara terbabit sudah diubah suai untuk menambah kapasiti minyak.

Baki ruang yang ada dalam bahagian bagasi, katanya, sudah dimuatkan dengan peralatan dan kostum anak-anak PERMATA Seni yang akan membuat persembahan.

"Bagaimana seorang negarawan boleh mendengar dan percaya kepada khabar angin sebegini?" kata Rizal menyoal Dr Mahathir.