Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap DAP berikutan pemilihan semula parti itu yang diadakan pada 29 September 2013.

Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai menjawab persoalan dikemukakan Loke Siew Fook (DAP - Seremban) yang meminta beliau menyatakan status siasatan ROS terhadap DAP.

"Walau bagaimanapun, pihak ROS masih meneruskan siasatan terhadap DAP kerana pihak pengurusan parti tersebut masih belum mengambil tindakan seperti mana yang telah dinasihati oleh ROS," jawab Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada Parlimen hari ini.

Siew Fook turut bertanya bilakah permohonan cawangan-cawangan baru yang telah diserahkan kepada ROS dapat diluluskan.

Pada 3 April 2014, ROS menerima surat daripada pihak DAP yang memohon semakan kehakiman ke atas tindakan yang diambil oleh ROS.

Pada 23 September 2014, pihak DAP kemudiannya telah menarik balik niat saman terhadap ROS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pemilihan semula DAP diadakan selepas ROS memaklumkan untuk membatalkan pendaftaran parti itu ekoran berlaku kesilapan dalam pengiraan undi pada pemilihan parti yang diadakan pada Disember 2012.