Rosmah nasihat orang politik amal politik matang

Rosmah nasihat orang politik amal politik matang
Rosmah menyampaikan ucapan pada Program Salam Sayang Perdana di Pusat Komuniti Lembah Pantai hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan 'orang politik' yang mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), untuk berpolitik secara matang.

Beliau berkata ini kerana terdapat segelintir orang politik yang hanya menceritakan 'separuh kebenaran' terhadap sesuatu perkara dengan hasrat agar rakyat membenci pucuk pimpinan negara.

"Kalau nak kuasa, buatlah kerja bukannya buat sandiwara dan cerita macam-macam," katanya ketika berucap dalam majlis Salam Sayang Perdana, di Pusat Komuniti Lembah Pantai, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi BN Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Penolong Setiausaha Wanita BN, Datuk Noraini Ahmad.

Rosmah hadir pada Program Salam Sayang Perdana di Pusat Komuniti Lembah Pantai hari ini. - BERNAMA
Rosmah turut mengingatkan orang politik supaya tidak menjatuhkan maruah orang lain demi politik.

"Kita semua ada perasaan, tak payahlah cakap macam-macam, kita ada maruah diri. Kita sesama Islam jangan jatuhkan air muka orang. Nak berpolitik, politiklah, tapi berpolitiklah secara matang," katanya.

Mengulas mengenai program anjuran Wanita BN itu, Rosmah berkata ia merangkumi kerja-kerja kebajikan, kesukarelawan dan kemasyarakatan untuk memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

"Program 'outreach' seperti ini dilaksanakan untuk mendekati pengundi di semua kawasan Parlimen di seluruh negara, di samping mendengar keluh kesah rakyat.

"Kita semua tahu pelbagai isu telah diputar belit pembangkang untuk melemahkan BN menjelang PRU. Jadi program ini adalah peluang terbaik jentera BN bertemu pengundi dan beri penjelasan secara bersemuka," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 April ini sebagai hari penamaan calon manakala 9 Mei sebagai hari pengundian. -- Bernama