Mohd Farid Abu Bakar, 40 tahun mengusahakan tanah lebih 10 ekar di Felda Lembah Klau, Raub, selepas ayahnya bersara dari menjadi seorang peneroka.

Beliau yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak namun masih terpaksa tinggal bersama ibu dan bapanya di rumah mereka kerana sumber kewangan yang terhad.

Malah, sebagai anak generasi kedua peneroka Felda, Mohd Farid mengakui bahawa bukan mudah untuk golongan senasibnya untuk menyewa di luar.

'Pendapatan kekal tidak banyak berubah'

“Bukan mudah hendak usahakan tanah 10 ekar dalam keadaan sekarang. Terutamanya apabila sudah berkeluarga. Pendapatan kekal sama, tidak banyak berubah tetapi jumlah orang yang harus kami tanggungi semakin ramai,” katanya.

Anak kedua dari empat adik beradik, Mohd Farid takut untuk membayangkan hari-hari seterusnya membesarkan anak-anaknya dengan pendapatan tidak menentu setiap bulan.

Dalam anggaran, hasıl kerja-kerja kampung yang dijalankannya, beliau dapat mengumpul sehingga RM900 sebulan.

BACA: Mencari 'downline' di lubuk Felda

Abangnya, yang juga bekerja di kampung, mempunyai pendapatan lebih kurang sama sebagai pengait buah sawit.

Mereka berdua terpaksa menumpang di rumah ibu dan ayah mereka bersama isteri dan anak-anak mereka.

Sementara dua lagi adik Mohd Farid mempunyai kisah yang berbeza. Adik perempuan dan lelakinya masing-masing berjaya ke menara gading sehingga boleh membina kerjaya di luar negara dan memegang jawatan tinggi di syarikat korporat.

Tidak seperti Mohd Farid, mereka tidak memerlukan bantuan perumahan generasi kedua di kawasan penempatan Felda seperti yang dijanjikan kerajaan sebelum ini.

“Isu rumah ini sudah lama. Kami dengar hampir lapan tahun lalu lagi bahawa akan ada pembinaan rumah generasi kedua di Lembah Klau. Tetapi sampai sekarang masih belum ada rumah yang dibina. Lokasinya ada ditunjuk-tunjuk tetapi bangunannya tiada.

“Saya harap sangat yang perumahan generasi kedua di kampung ini boleh dibangunkan dengan segera.
Semoga suara kami lebih didengari pada pilihan raya kali ini supaya pihak berwajib boleh mengambil tindakan,” katanya.

Kebanyakan rumah-rumah yang dilihat seakan ‘terbengkalai’ ini sebenarnya dalam proses penukaran kontraktor pembinaan atau sedang dalam proses membuka tender bagi mencari kontraktor baru. - Foto Astro AWANI/Nuradilla Noorazam
Sementara itu di Felda Jengka 11, sesiapa yang melalui pintu masuk tanah rancangan tersebut akan melihat deretan rumah-rumah batu yang masih belum siap. Ia merupakan projek perumahan generasi kedua yang dilancarkan beberapa tahun yang lalu.

Isu perumahan generasi kedua Felda bukan mudah. Ini kerana di peringkat pelaksanaan, dikatakan pelbagai masalah dihadapi oleh pelaksana dan penduduk.

Kebanyakan rumah-rumah yang dilihat seakan ‘terbengkalai’ ini sebenarnya dalam proses penukaran kontraktor pembinaan atau sedang dalam proses membuka tender bagi mencari kontraktor baru.

Ramai 'doktor sendiri' di sini

Salah seorang penduduk dan generasi kedua Felda di Jengka 11, Rohaya Saad, 39 tahun yang bekerja sebagai guru berkata beliau amat gembira apabila mendengar berita bahawa kerajaan akan membina rumah buat generasi kedua Felda.

“Masa mula-mula tu memang sangat gembira sebab dekat sini memang ramai generasi kedua yang memerlukan rumah, takkan hendak menumpang rumah mak ayah sampai bila-bila.

“Saya agak lega bila dapat tahu yang pembinaan rumah ini akan diteruskan cuma memang terkilan sebab ia mengambil masa lebih lama dari sepatutnya,” katanya.

Malah rumah-rumah yang separuh siap ini didakwa turut dijadikan penempatan oleh penagih dadah yang dikenali penduduk sebagai ‘doktor sendiri’.

“Memang ada kalau masuk dalam-dalam sikit akan nampak penagih duduk dalam rumah-rumah kosong ini. Yang sedihnya, kebanyakan mereka adalah anak-anak dan cucu-cucu peneroka sendiri," kata Rohaya.

Bagi Mohamad Zamri Basri, 46, yang lebih mesra dipanggil ‘ustaz’ di kalangan orang kampung, masalah dihadapi generasi kedua Felda adalah amat luas. - Foto Astro AWANI/Nuradilla Noorazam
Bagi Mohamad Zamri Basri, 46, yang lebih mesra dipanggil ‘ustaz’ di kalangan orang kampung, masalah dihadapi generasi kedua Felda adalah amat luas.

Jelasnya, isu yang dihadapi mereka tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja dan bukan satu pihak sahaja yang boleh dipersalahkan.

“Memang diakui banyak yang boleh diperbaiki apabila kita bercakap tentang isu kebajikan generasi kedua dan ketiga Felda. Tentang isu rumah, ia bukan sahaja tentang membina perumahan yang cukup tetapi kita kena lihat faktor pembiayaan.

“Walaupun rumah-rumah yang ditawarkan berharga jauh di bawah pasaran dan ditawarkan dengan diskaun seperti rumah di Jengka 11 yang berharga RM75,000 tetapi diberi diskaun RM20,000 oleh Felda, masih ramai anak peneroka yang tidak mampu membeli.

“Ini kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap atau slip gaji bank untuk membuat pinjaman,” katanya.

Mohamad Zamri yang juga pengerusi Kami Anak Felda (KAF) berkata pihaknya menggesa kerajaan untuk menyelesaikan isu pembiayaan dan mempercepatkan pembangunan rumah untuk generasi kedua Felda.

“Dari segi pembiayaan, mereka ini masih boleh dibantu oleh Yayasan Felda. Jadi itu salah satu penyelesaian yang kami boleh lihat.

“Pada masa yang sama kerajaan dan Felda harus lihat sudut sosioekonomi generasi kedua ini. Ramai yang sudah berjaya tetapi masih ada yang ketinggalan. Bagaimana kita boleh membantu mereka yang tinggal di kampung supaya boleh hidup selesa seperti yang berjaya di bandar?” katanya.

Manakala Noraini Ahmad, 46, berkata golongan generasi kedua Felda yang tinggal di kampung harus bertindak mengubah sikap mereka untuk berjaya. - Foto Astro AWANI/Nuradilla Noorazam

Peluang ada, anak tempatan kena rebut

Manakala Noraini Ahmad, 46, berkata golongan generasi kedua Felda yang tinggal di kampung harus bertindak mengubah sikap mereka untuk berjaya.

“Saya berani cakap di Felda ini tiada orang yang akan menganggur kalau dia sanggup bekerja. Kerja banyak di sini. Kalau kerja tidak ada mengapa ada ramai pekerja asing mengaut buah, menjadi buruh dan mengusahakan tanah di sini? Mereka mengganti pekerja-pekerja tempatan yang tidak mahu membuat kerja-kerja ini.

“Bukan sahaja dari sudut mengerjakan ladang Felda. Ada ramai di Felda ini turut mengusahakan pertanian moden. Anda ada tanah, lakukan yang sebaiknya. Ada yang mengusahakan penternakan ayam, itik, kambing dan sebagainya. Peluang nak berniaga itu besar,” katanya.

Walau bagaimanapun Norani mengakui bahawa rata-rata generasi kedua Felda yang tinggal di kampung memerlukan perhatian dari segi bantuan pendidikan, latihan, kewangan dan motivasi.

isu yang dihadapi generasi kedua Felda dijadikan bahan kempen pilihan raya oleh pihak-pihak yang ingin mendapat undi masyarakat kampung dan pedalaman.  - Foto Astro AWANI/Nuradilla Noorazam

Usah dipolitikkan isu kami, sama-sama cari penyelesaian

Tambah Mohamad Zamri lagi, berpendapat bahawa generasi kedua dan ketiga Felda yang berjaya di luar harus mengingati asal usul mereka dan berbakti kepada Felda.

“Ramai anak Felda berjaya di luar sana. Ada yang jadi hartawan, tokoh korporat, pemikir, berjawatan tinggi dalam kerajaan, ada yang mengharumkan nama Malaysia ke seluruh negara. Mereka ini boleh menjadi sumber inspirasi masyarakat yang tinggal di sini dan mereka mempunyai kemampuan untuk membantu orang-orang di sini,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa isu yang dihadapi generasi kedua Felda dijadikan bahan kempen pilihan raya oleh pihak-pihak yang ingin mendapat undi masyarakat kampung dan pedalaman.

Foto Astro AWANI/Nuradilla Noorazam
"Sudah-sudahlah isu kami dipolitikkan. Yang paling penting adalah mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini. Tidak kira siapa yang berkuasa, jika masalah ini berterusan ia tidak menguntungkan generasi kedua Felda," katanya.