Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyarankan ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) menghentikan permainan politik merebut kuasa untuk memegang tampuk pemerintahan negara.

Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata, mereka seharusnya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti pada Mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen ke-14 pada 18 Mei lepas.

“Cukup-cukuplah bersandiwara dengan usul undi tidak percaya dan menggunakan Akuan Sumpah sebagai alat untuk mencapai kuasa politik.

“Rumah yang mereka bina selama 22 bulan sudah hancur disebabkan berantakan sesama sendiri. Kini pimpinan PH mahu menghancurkan rumah Perikatan Nasional (PN) pula,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan pimpinan Muhyiddin jelas menunjukkan prestasi amat baik berbanding PH terutamanya ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Ahli Parlimen PH sepatutnya memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi negara pasca COVID-19. Rakyat kita kebanyakannya hilang mata pencarian akibat krisis ini.

“Negara juga berdepan kemelesetan ekonomi dek kerana kejatuhan harga minyak dunia dan kemerosotan perdagangan antara negara. Mengapa masih pentingkan diri sendiri dengan kerakusan kuasa?

“Rakyat Malaysia sudah jelik dengan permainan politik PH dan perebutan kuasa beberapa individu dalam parti itu,” ujarnya.

Sebelum ini, pada awal Mei lepas, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengusulkan Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan boleh dilantik sebagai Perdana Menteri.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof kemudian menolak usul tersebut kerana usul dikemukakan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Kemudian, pada 4 Mei, Dr Mahathir pula menghantar surat kepada Mohamad Ariff mendakwa Muhyiddin tidak ada sokongan majoriti anggota parlimen.

Dewan Rakyat pada 8 Mei menyatakan menerima usul tidak percaya terhadap Muhyiddin untuk dibawa pada Mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen ke-14 pada 18 Mei lepas.

Begitupun, ia tidak dapat dibahaskan kerana hanya titah Yang di-Pertuan Agong dibenarkan dalam sidang tersebut.