Parti Warisan Sabah (Warisan) akan mengumumkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam waktu terdekat.

Menurut Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, manifesto itu akan mengambil kira janji kerajaan yang selama ini masih tidak dilaksanakan.

"Lapangan terbang baharu Lahad Datu, Jambatan Pulau Bum-Bum dan beberapa lagi janji yang hingga kini belum ditepati, kita akan masukkan dalam manifesto pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Lawatan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Getah Pangi Kunak pada Ahad.

Ditanya mengenai rundingan dengan parti pembangkang lain di bawah Pakatan Harapan, Mohd Shafie berkata, ia berjalan dengan baik bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pengerusi pakatan itu.

"Rundingan telah berjalan dan selesai. Parti Warisan akan banyak bertanding, tetapi kita telah ada rundingan dengan parti lain.

"Tetapi nampaknya, ada ahli dari parti tersebut, sama ada dari Parti Cinta Sabah, atau Parti PBS dan UPKO, sudah pun menyertai parti kami. Mereka ini kami akan letak menjadi calon kelak," katanya.