Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan Bersatu beroleh jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak berbanding rakan pakatannya di Kedah.

Bagaimanapun, katanya, ia mendapat persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan (Harapan).

“Biasalah, ada agihan kerusi yang memihak kepada kita, ada tidak. Atas persetujuan bersama, jumlah kerusi terbanyak DUN Kedah diberikan kepada Bersatu,” katanya.

Menurut Pengerusi Harapan Kedah itu, semua empat parti berpuas hati dengan rundingan 36 kerusi DUN yang dimuktamadkan.

“Yang penting, kita kena menang walau siapa pun calon yang bertanding mewakili Harapan. Rasa tak puas hati itu biasa, namun jika kita dapat kesan awal, masih ada masa untuk redakan keadaan,” katanya.

Sebelum ini, empat kerusi dalam rundingan akhir adalah Gurun (PKR/DAP), Kulim (Bersatu/PKR/DAP), Guar Chempedak (Bersatu/Amanah) dan Pantai Merdeka (Bersatu/Amanah).

Spekulasi awal yang dibuat berdasarkan kepada kekuatan parti itu, kemungkinan menyaksikan formula yang diguna pakai Harapan Kedah adalah 14-10-10-2 (Bersatu/Amanah/PKR/DAP).

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, beberapa siri sidang media yang didakwa melibatkan ahli Bersatu mengkritik kepimpinan tertinggi parti itu meragukan.

Katanya, sepatutnya sebarang permasalahan parti hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada kepimpinan negeri untuk kenal pasti persoalan dibangkitkan.

Menurutnya, sebelum ini beberapa ahli Bersatu di negeri lain turut mengadakan siri sidang media menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan parti, di mana terbukti wujud ‘tangan ghaib’ yang mengatur drama bersiri berkenaan.