Mana-mana ahli yang disyaki mengkhianati parti menerusi rundingan sulit bersama musuh politik perlu diambil tindakan tegas termasuk dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR.

Wakil perwakilan Johor, Mohd Shahrun Radzi Salehudin berkata, ini kerana perbincangan sulit yang didakwa diketuai oleh pemimpin PKR sendiri bersama parti lawan adalah satu pengkhianatan dan sudah pasti tidak boleh dimaafkan.

“Ini boleh dijadikan bahan untuk parti lawan menentang dan menjatuhkan parti apabila mendapat usaha dalaman ini.

"Sebarang perbincangan anggota parti dengan pihak pembangkang mengenai isu dalaman adalah sebagai satu pendedahan kepada pembangkang bahawa parti sendiri mempunyai kelemahan kepemimpinan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan Ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Beliau berkata, sejarah tamadun manusia sudah membuktikan bahawa jatuh dan hancurnya sesebuah kerajaan adalah kerana wujudnya golongan pengkhianat.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua, kita tidak mahu parti yang disayangi ini hancur kerana adanya pengkhianat dalam kalangan kita yang bebas bergerak dalam parti ini serta tidak lagi menghormati Presiden.

“Apatah lagi mengenang jasa pejuang terdahulu yang perjuangan membangun serta mempertahankan parti ini.

“Inilah yang parti tidak mahu kerana aktiviti pembangunan rakyat tergendala kerana agenda sempit berkenaan,” katanya