Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), telah diturunkan ke senarai nombor 7 hari ini dari nombor 4 semalam.

Ia menimbulkan pertanyaan, apakah RUU355 itu dapat dibahaskan hari ini atau akan terus diturunkan lagi esok dan hari-hari mendatang.

Ketika tumpuan diberikan kepada usul persendirian itu, Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat melangkah keluar dewan ketika sidang masih berjalan pagi ini.

Presiden PAS itu bagaimananpun mengunci mulut dan hanya tersenyum apabila diminta mengulas peluang untuk usul persendirian yang dibawanya itu dibahaskan.

Usul kontroversi itu diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaan dimasukkan dalam senarai.

Kebiasaannya usul kerajaan akan didahulukan untuk dibentang dan dibahaskan berbanding usul persendirian.

Bermula minggu depan, perbahasan di Dewan Rakyat akan memberi tumpuan kepada Bajet 2017 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.