KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang sedia membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei ini jika mendapat persetujuan dua pertiga wakil rakyat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan membentangkan RUU itu jika tidak mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat.

"Kerajaan sekarang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mendapat sokongan dua pertiga daripada wakil rakyat, maka sokongan pembangkang perlu untuk meluluskan RUU itu. KIta akan dapatkan persetujuan pembangkang terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 untuk murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau, di sini, hari ini.

Ditanya jika kerajaan negeri akan mengadakan libat urus bersama pembangkang berhubung perkara itu sebelum persidangan DUN akan datang, Wan Rosdy berkata mereka mempunyai cara untuk melaksanakannya.



WAN ROSDY-LOMPAT PARTI 2 (AKHIR) KUANTAN



Pahang antara negeri yang belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti sejak ia berkuat kuasa pada 5 Okt 2022 selepas diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Mengulas mengenai program BPP, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri memperuntukkan serjumlah RM2.514 juta kepada 25,146 murid darjah satu dengan masing-masing menerima RM100 dengan agihan bermula hari ini hingga 7 April ini di semua 540 buah sekolah rendah di Pahang.

Untuk tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM42.4 juta untuk BPP, meningkat RM8 juta daripada tahun lepas, yang akan memanfaatkan 218,193 penerima terdiri daripada pelbagai peringkat golongan sasar.

BPP diperkenalkan pada tahun 2020 selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memulangkan semula hasil dan keuntungan yang diperoleh kepada rakyat menerusi pemberian pelbagai bentuk bantuan.

-- BERNAMA