Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad mengesahkan beliau dipanggil semula untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian menamakan dirinya sebagai calon Menteri Besar Perak yang baharu.

“Tak ada (ubah pendirian). Kita (BN) telah serah nama (calon Menteri Besar) kepada Tuanku.

“Nama yang kita serahkan kepada Tuanku tempoh hari, saya cuma tahu nama calon daripada BN sahaja.

“Petang nanti, pukul tiga, kita dititah menghadap,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: MB Perak: BN calonkan Saarani, Pas kunci mulut

BACA: Faizal Azumu letak jawatan MB, kerajaan Perak bubar serta merta


Namun, usaha Astro AWANI untuk mendapatkan pengesahan daripada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sama ada beliau turut dipanggil menghadap atau tidak, gagal.

Turut dijadual menghadap Sultan Nazrin sekitar jam 5 petang ini adalah tujuh daripada 10 exco Kerajaan Negeri Perak sewaktu pentadbiran Ahmad Faizal sebelum ini.

Mereka adalah Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, Dr Abdul Aziz Bari, Howard Lee, Tan Kar Hing, Wong May Ing, Datuk Asmuni Awi dan A Sivanesan.

Media difahamkan, tiga lagi bekas exco tidak dipanggil menghadap iaitu Hasnul Zulkarnian Abdul Munaim, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan Paul Yong Choo Kiong, ekoran ketetapan yang telah dibuat mereka untuk menyokong Perikatan Nasional.

BACA: Sultan Perak pertimbang MB baharu, perkenan peletakan jawatan Faizal Azumu

Tatkala negeri-negeri lain telah menetapkan pendirian berkenaan hala tuju politik serta pentadbirannya, persoalan itu masih belum terjawab di Perak.

Ia selepas dua nama calon Menteri Besar Perak, iaitu Saarani dan Ahmad Faizal, dipersembahkan kepada Sultan Perak, masing-masing dari BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pas pula tidak menyatakan sama ada mereka turut mencalonkan nama lain atau memberi sokongan kepada salah seorang calon yang telah dikemukakan.

Mengikut perkiraan kasar, Saarani dilihat mempunyai kelebihan dari segi angka lantaran mempunyai 25 sokongan ADUN dari UMNO, selain tiga dari Pas.

Namun, peranan Ahmad Faizal yang disifatkan sebagai pencatur utama atau ‘king maker’ di Perak tidak boleh diketepikan.

Ia selepas beliau berjaya membawa masuk Abdul Yunus, yang juga ADUN Kuala Kurau, untuk menyertai Bersatu selain tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) yang turut menyokongnya, sekali gus membentuk Perikatan Nasional Perak.

Mengimbas semula pembentukan kerajaan PH di Perak pasca Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Ahmad Faizal yang hanya merupakan pemegang kerusi tunggal Bersatu di Perak berjaya mendapatkan sokongan dua lagi ADUN untuk dirinya dilantik sebagai Menteri Besar.

Percaturan sama juga dilihat dalam konteks pembentukan Perikatan Nasional Perak ketika ini oleh Ahmad Faizal.