Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mengumumkan jumlah pengagihan kerusi di antara rakan sekutu selewat-lewatnya pada minggu hadapan.

Mohd Shafie turut memberi bayangan calon yang akan dipertandingkan nanti adalah dalam kalangan muka-muka baharu.

Beliau berkata, semua keperincian mengenai jumlah kerusi, memuktamadkan senarai calon dan pengagihan dengan mengambil kira kepentingan semua parti dalam gabungan Warisan.

"Itu antara pertimbangan, muka-muka baharu dan juga latar belakang dan daripada itu kriteria utama kita ialah bukan hanya muka baharu, bukan hanya ada kelulusan ... tetapi kami tidak mahu ada yang melompat," katanya.

BACA: LAPOR LANGSUNG Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu, pada Isnin.

Sementara itu, dalam mesyuarat berlangsung hampir dua jam tersebut, Mohd Shafie difahamkan telah mencapai persetujuan di antara semua sekutu parti mereka, namun sebarang kata putus akan dimaklumkan kemudian.

Hadir sama dalam sidang media itu adalah Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mohd Shafie pada Khamis lalu mengambil keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah ekoran pengumuman bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ADUN untuk membentuk kerajaan baharu.

Sementara itu, berhubung kesediaan pemimpin-pemimpin 'heavyweight' yang terdahulunya merupakan Ahli Parlimen akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti, perkara tersebut juga akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Antara nama yang disebut adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden UPKO, Madius, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohamad Azis Jamman atau Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong.

"Nanti saya akan maklumkan when the right time, i will tell you all, siapa bertanding, di mana bertanding, InsyaAllah akan dimaklumkan nanti," katanya.