"Sabah rakan sejati BN" - PM Najib

"Sabah rakan sejati BN" - PM Najib
Najib ketika tiba pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Kota Marudu hari ini. - BERNAMA
KOTA MARUDU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu terus memajukan Sabah dalam usaha mengurangkan jurang antara negeri itu dengan Semenanjung Malaysia.

Beliau turut menyifatkan Negeri Di Bawah Bayu itu sebagai rakan sejati Barisan Nasional (BN).

"Saya anggap Sabah ini sebagai rakan sejati kita dan Sabah perlu dimajukan dan orangnya dibela supaya jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung dapat dirapatkan," katanya dalam satu sidang media sebagai menutup program lawatannya di Kota Marudu hari ini.
Justeru beliau menyeru agar pengundi Sabah tidak mengundi berdasarkan sentimen yang dimainkan pihak pembangkang.

"Kita tidak boleh main sentimen. Ini bukan soal sentimen tetapi soal siapa yang boleh menentukan masa depan lebih baik dan bukan sahaja janji tetapi boleh menyampaikan khidmat dengan baik," katanya, sambil menambah hanya BN boleh menunaikan janji kerana mempunyai kuasa mutlak di peringkat nasional.

"Masa mereka (pembangkang) nak sesuatu jawatan boleh janji macam-macam tetapi kebanyakannya janji palsu dan tidak boleh ditunaikan kerana mereka tidak ada kuasa mutlak. Hanya parti besar yang berkuasa di peringkat nasional yang ada kuasa mutlak," tambahnya lagi.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan bersama rakyat di Keningau, Beaufort sebelum menamatkan program di Kota Marudu yang dihadiri kira-kira 3,000 orang.