Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Saifudin Nasution Ismail diingatkan supaya lebih bersikap realistik dengan menggunakan kedudukannya untuk mencari penyelesaian terhadap masalah banjir yang melanda negeri itu.

Ketua Penerangan UMNO Kulim Bandar Baharu Mohd Fazil Amir Hamzah berkata, dengan jawatan disandangnya itu, Saifuddin tidak sewajarnya menunjukkan kelemahan fikirannya dengan menggunakan politik murahan untuk mempengaruhi pengundi di Parlimen Kulim Bandar Baharu iaitu kerusi yang pernah diwakilinya satu ketika dulu.

"Kelantangan Saifuddin membangkitkan tentang isu banjir di Kulim Bandar Baharu seolah-olah menempelak dirinya semula berikutan kegagalan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri yang gagal menghadapi situasi banjir besar yang melanda negeri itu tempoh hari.

"Jangan sekadar gah pada kedudukan pangkat sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri sahaja tetapi tiada apa-apa kejayaan dibawa.

"Inilah ciri-ciri orang tidak tahu bersyukur sehingga lupa siapa yang merayu dan memohon bantuan daripada kerajaan pusat ketika banjir di Pulau Pinang tempoh hari," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Jelasnya, sebagai Penasihat Strategik, Saifuddin harus sedar apa yang harus dilakukannya adalah untuk menasihati kerajaan negeri bagi mengelakkan kejadian banjir yang serupa berulang kembali dan bukannya asyik mencari kelemahan orang lain.

Saifuddin pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu telah jelas ditolak masyarakat di Kulim Bandar Baharu dan kini dilihat cuba menjadi hero yang tidak didendang dan diundang.

Tegas Mohd Fazil, ulasan Saifuddin mengenai situasi banjir di Pulau Pinang juga, diibaratkan sebagai meludah ke langit dan terkena muka sendiri.

"Banjir yang menjejaskan ratusan penduduk negeri itu, membuktikan kegagalan kerajaan negeri dalam merangka pembangunan negeri secara mapan.

"Selesaikan dahulu isu banjir di Pulau Pinang. Kasihan penduduk Pulau Pinang selalu ditindas dengan permainan politik mereka yang asyik menyalahkan orang.

"Jawatan Penasihat Strategik macam tiada fungsi. Kalau betul hendak berpolitik, politik secara matang bukannya politik bermusim seperti sekarang," katanya.

Sebelum ini, hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri itu juga telah meragut tujuh nyawa.