Bekas naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata beliau yakin bahawa kepimpinan baharu parti itu akan melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik berbanding kepimpinan yang lama.

Menurut beliau, trend pemilihan pada muktamar (perhimpunan Agung) kali ini menyaksikan para perwakilan sudah bersedia untuk menerima kumpulan tertentu sebagai barisan kepimpinan.

"Dari segi trend nampaknya mereka bersedia untuk memilih satu kumpulan kepimpinan yang mereka mahu.

"Itu pun bagi saya tetap saya hormati.. sebab itu kehendak perwakilan," kata Salahuddin ketika ditemui pemberita di Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini pada Jumaat.

Katanya, keputusan pemilihan telah pun dibuat dan ia seharusnya dihormati oleh semua pihak.

Selain itu, beliau juga menyatakan rasa puas hati dengan keputusan pemilihan kali ini.

"Saya sendiri yang terlibat dalam pertandingan sebagai naib presiden, saya sangat berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh perwakilan," ujarnya.

Beliau juga berpandangan, barisan kepimpinan baharu itu harus diberi peluang kerana baginya setiap kepimpinan ada visi mereka serta pendekatan mereka yang sesuai dengan suasana politik hari ini.

"Jadi saya beri peluang kepada mereka untuk buktikan dan adalah merupakan mandat yang ditunjukkan oleh perwakilan," tambah Salahuddin.

Salahuddin gagal mengekalkan jawatannya sebagai Naib Presiden PAS apabila sekadar meraih 435 undi.

BACA : Tsunami pro ulama di Pemilihan PAS

Beliau tewas kepada Idris Ahmad yang memperoleh 896 undi, Datuk Mohd Amar Abdullah 710 undi dan Datuk Iskandar Abdul Samad 672 undi untuk dipilih menduduki kerusi itu.

Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa juga gagal mempertahankan posisi itu apabila masing-masing sekadar memperoleh 378 dan 317 undi.

Pemilihan Muktamar PAS kali yang selesai pada Khamis itu juga menyaksikan satu 'tsunami' oleh perwakilan apabila keputusan berpihak kepada golongan yang dilihat pro ulama di dalam parti itu berbanding kumpulan pro profesional bagi mewakili mereka di peringkat kepimpinan Pusat.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mengekalkan jawatan Presiden PAS bagi penggal 2015/2017, sementara kejutan bagi jawatan Timbalan Presiden apabila pencabar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berjaya menewaskan penyandang Mohamad Sabu.