Pas Pulau Pinang 'merehatkan' wakil rakyat tunggal Pas Pulau Pinang Datuk Mohd Salleh Man daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Perkara itu telah diputuskan sebulat suara oleh Majlis Syura Ulama, kata Yang Dipertua Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff, sambil menambah, ia dibuat bagi memberi ruang kepada muka baharu untuk bertanding.

"Kita merehatkan dia daripada bertanding dalam PRU14. Sudah menjadi amalan kepada kita mana-mana (nama calon) kita angkat kepada Majlis Syura Ulama itulah yang dipilih.

"Jadi, nama dia kita tak angkatlah sebab kita tak memilih dia untuk bertanding," katanya semasa ditanya mengenai kedudukan Mohd Salleh dalam parti itu.

Muhammad Fauzi berkata demikian selepas Majlis Dialog Presiden Pas bersama Badan Bukan Kerajaan India yang dihadiri Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kepala Batas, di sini, hari ini.




"Ini penilaian berdasarkan kepada amalan Pas. Kita menilai kepada apa yang dia bawa. Hasrat kita ialah untuk membawa suara Islam ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita hendak muka-muka baru yang berpotensi, yang ada dalam Pas, di kalangan Pemuda, Muslimat dan badan perhubungan Pas sendiri. Maknanya, dia direhatkan dengan terhormat, setelah dia diberi peluang di dalam DUN," tambahnya.

Muhammad Fauzi berkata, Pas akan meletakkan calon bersesuaian bagi menggantikan Mohd Salleh yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Bagaimanapun, katanya, Mohd Salleh masih lagi kekal sebagai ahli Pas.

Kedudukan Mohd Salleh sebelum ini menjadi perhatian apabila dia masih lagi mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang walaupun Pas sudah memutuskan kerjasama politik dengan parti itu.