Parti Amanah Negara (Amanah) menasihati calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Hamzah Abdullah supaya tidak menyalah guna Amanah dalam kempen yang dilakukannya.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata tidak adil buat Amanah sekiranya Hamzah mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan para pengundi di Parlimen tersebut.
“Apa yang dilakukan Hamzah, saya harap dia tidak akan babitkan Amanah dalam kempennya. Dia ada hak untuk bertanding sebagai calon bebas tetapi tentukanlah supaya nama Amanah tidak dibabitkan.
“Kita hormati sikapnya mahu keluar daripada Amanah, mahu bertanding sebagai calon bebas. Itu hak dia. Tapi jangan keluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan, itu tidak adil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan sebelum itu menghadiri Taklimat Projek Pembangunan Taman Hutan Hujan Sandakan dan Ujana Elopura oleh Jabatan Lanskap Negara di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan sebelum itu menghadiri Taklimat Projek Pembangunan Taman Hutan Hujan Sandakan dan Ujana Elopura oleh Jabatan Lanskap Negara di sini hari ini.  - Foto Astro AWANI
Khalid pada masa sama turut menegaskan bahawa Amanah kekal dengan pendirian menyokong calon DAP, Vivian Wong atas semangat kerjasama Pakatan Harapan (PH), walaupun gabungan itu tidak wujud secara rasmi di Sabah.
“Kita tidak anggap DAP itu sebagai musuh orang Islam dan Melayu kerana itu hanya mainan politik yang mungkin laku di Semenanjung (Malaysia).
“Kita harap di Sabah ia tidak menjadi satu isu atau hujah yang diterima oleh warga Sandakan arah Sabah secara amnya,” tegas Khalid.