Tutup

Satu lawan satu di PRK Seri Setia

Satu lawan satu di PRK Seri Setia
Halimey (dua kiri) berarak bersama Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menuju Pusat Penamaan Calon PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik Petaling Jaya, 18 Ogos, 2018. Astro AWANI / SHAHIR
PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Seri Setia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar dan calon Pas, Dr Halimah Ali.

Pengumuman rasmi dibuat Pegawai Pengurus PRK Seri Setia yang juga Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Ia berikutan selama sejam tempoh serah borang tiada calon lain termasuk calon dari parti Bebas tampil menyerahkan borang.

PRK N32 Seri Setia bakal diadakan serentak dengan PRK Balakong pada 8 September ini dan akan menyaksikan 115 saluran mengundi berbanding 91 saluran pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Halimey sewaktu menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus DUN Seri Setia Datuk Mohd Azizi Mohd Zain di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini.

Selain pemimpin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Idris Ahmad (kanan sekali), Dr Halimah (empat kiri) turut diiringi Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad (dua, kiri) ke Dewan Sivik MBPJ pada penamaan calon hari ini.
Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.
Mengikut rekod, Pakatan Rakyat berjaya menawan DUN Seri Setia menerusi Nik Nazmi Nik Ahmad selama dua penggal bermula 2008 sebelum Shaharuddin mengekalkan penguasaan pada PRU14.

Pada 9 Mei, Shaharuddin memperolehi undian majoriti sebanyak 19,372, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff M. Haniff, calon Pas, Mohd Daud Ghazali dan calon Bebas, S Vigneswaran.

BN memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia, sebaliknya memberi laluan kepada Pas.