Pakatan Harapan akan memutuskan logo yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum (PRU14) pada minggu hadapan.

Keputusan itu dicapai Majlis Presiden Pakatan Harapan selepas bermesyuarat di Parlimen yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita juga ada membincangkan berkenaan keputusan sebelum ini di mana kita akan menggunakan satu logo untuk pilihan raya.

"Kita memberi peluang satu minggu di mana mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan datang akan memutuskan simbol dipilih yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan," kata Dr Mahathir.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 27 Februari lalu memutuskan perkara berkenaan selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) gagal menjawab permintaan untuk PH didaftarkan sebagai satu gabungan.

Malah, gabungan itu juga sudah mengemukakan permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perintah supaya jabatan itu menjawab permohonan mendaftarkan gabungan berkenaan.