Usaha media mendapatkan ulasan lanjut daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemelut dalaman yang melanda parti gagal apabila beliau mengelak daripada ditemu bual.

Anwar yang hadir ke satu majlis di sebuah hotel di Port Dickson pagi tadi cuba ditanya sekumpulan pengamal media yang menunggu lebih sejam di pintu keluar dewan namun beliau hanya berlalu pergi.

Cubaan kumpulan wartawan untuk mendekati Ahli Parlimen Port Dickson itu sekali lagi dengan mengekorinya ke ruang legar hotel hampa apabila beliau terus meninggalkan majlis dan masuk ke dalam lif.

“Saya ada meeting (mesyuarat),” kata Anwar yang hadir ke majlis perasmian bwork dan SME Route to Digital & Hypermarket Forum, di sini, pada Ahad.

Selain isu video intim yang turut mengheret Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, serta spekulasi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan PKR dan menyertai parti Gerakan, tindakan pemimpin PKR peringkat negeri menyatakan sokongan kepada Anwar untuk mengetuai parti itu turut menjadi persoalan.

Semasa di parlimen minggu lalu, Anwar menyuarakan rasa yakin mempunyai sokongan diperlukan untuk menjadi perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamed.

Gerakan mendapatkan tandatangan itu menimbulkan rasa kurang senang kepada beberapa pihak termasuk Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang hairan mengapa tandatangan pemimpin PKR perlu bagi menyatakan sokongan kepada presiden parti.

Beliau yang juga orang kuat Mohamed Azmin mendesak Anwar mengeluarkan arahan supaya menghentikan tindakan tersebut atas alasan menimbulkan persoalan yang mencerminkan ketidakstabilan kedudukan presiden.