Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Rizuan Abd Hamid menegaskan beliau akan berjuang bersama presiden partinya, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga ke nafas terakhir.

Beliau berkata, terlalu banyak jasa diberikan oleh Najib untuk negara ini terutama dengan melakukan pembaharuan yang lebih baik daripada apa yang dilakuan oleh bekas perdana menteri Malaysia sebelum ini.

"Gagasan 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bantuan persekolahan, Klinik 1Malaysia, pelbagai jenama 1Malaysia... semuanya untuk bantu orang miskin tidak kira di kampung atau bandar," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kepong di Hotel Hilton, KL Sentral pada Ahad.

Menurut Rizuan, ahli UMNO bahagian Kepong perlu menyokong kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Beliau berkata, mereka (ahli UMNO bahagian Kepong) perlu berikrar untuk taat setia tidak berbelah bahagi kepada Najib.

"Saya berani mati untuk Najib. Jangan sentuh Najib. Kalau mahu mati, mahu mati bersama Najib. Itu ikrar kami (ahli UMNO bahagian Kepong). Mati dalam politik adalah lebih baik daripada mati katak," katanya.

Rizuan berkata, walaupun banyak desakan yang meminta Najib meletakkan jawatan, namun ketika ini tiada siapa yang layak untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Katanya, sokongan diberikan kepada Najib kerana beliau masih mempunyai otak yang kuat dan hebat.

"Kenapalah anda semua mahu fikir untuk buang dia? Nak suruh dia berhenti? Adakah ada orang lain yang layak selain daripada Najib? Beritahu saya, ada ke? Zahid Hamidi pun kata beliau tidak bersedia lagi," tambahnya.