Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk bersama pembangkang seandainya menteri sedia ada hari ini melakukan penyelewengan dalam pentadbiran.

Ketua Umum itu menegaskan, ia langkah mengelak salah guna kuasa yang boleh menjadi senjata kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan.

"Sekarang saya hendak ingatkan menteri, giliran pembangkang untuk membaca laporan audit dan saya yang akan masuk Parlimen dalam masa singkat ini, kalau menang.

"Kalau serangan pembangkang itu tepat dan ada kerosakan dan penyelewengan dan kecuaian menteri, saya akan bersama dengan pembangkang untuk turut menyerang," katanya semasa berucap pada majlis penutup Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Anwar sebelum ini membayangkan kemungkinan kembali semula menjadi Ahli Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, beliau belum membuat keputusan mengenai kerusi Parlimen yang ingin beliau tandingi dalam pilihan raya kecil (PRK).