Seorang ahli perniagaan wanita, Florence Goh Siew Boey, hari ini menjelaskan bahawa beliau bukan Florence Goh yang dikaitkan dengan khidmat pelobi Amerika Syarikat seperti yang didakwa Anggota Parlimen pembangkang, Rafizi Ramli.

Goh, yang merupakan pengarah CRT Insights Technologies Sdn Bhd, memberitahu satu sidang akhbar di sini bahawa beliau bukannya Florence Goh atau Pengarah Godfrey Group Limited seperti yang didakwa pemimpin PKR itu.

"Beliau (Razifi) menamakan saya dan syarikat dalam talian saya. Saya bergiat dalam perniagaan IT dan semua urusan dijalankan secara dalam talian.

"Perbuatannya itu menjejaskan perniagaan saya, nama baik saya dan keluarga saya," katanya pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong.

Goh, 42, menuntut Rafizi membersihkan namanya daripada dakwaan tersebut serta memohon maaf kepadanya.

"Bersihkan saya daripada (dakwaan) ini," kata Goh sambil menambah bahawa beliau juga telah membuat laporan polis pada Isnin.

Sementara itu Wee yang juga Timbalan Presiden MCA, menggesa Rafizi supaya membuat semakan terperinci terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan agar tidak menyebarkan maklumat salah kepada orang ramai.

"Tidak adil kepada mereka yang disebut namanya. Beliau perlu lebih bertanggungjawab dan tidak menjadikan orang lain sebagai mangsa," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang satu laporan di muka depan akhbar The Star pada 27 Mei yang dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti pihak tertentu, Wee berkata tajuk utama dan gambar yang disiarkan itu boleh memberi persepsi silap terhadap pembaca.

"Kita perlu berhati-hati, jadikan ini sebagai pengajaran," katanya.

Semalam, akhbar itu menggantung dua editor kanannya sementara menunggu penyiasatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah membuka kertas siasatan berikutan laporan orang ramai tentang perkara itu.

Pada Isnin, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Star berhubung laporan dan tata letak muka depan akhbar berkenaan. Akhbar harian berbahasa Inggeris itu diberi tujuh hari untuk menjawab surat berkenaan.

-- BERNAMA