Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengingatkan semua pihak agar tidak memperkecilkan kebolehannya.

Katanya, sungguhpun beliau seorang yang kurang bercakap, pemalu dan lemah lembut, namun 'cakarannya' amat berbisa.

"Saya pemalu tetapi bukan malu-malu kucing, tapi malu-malu harimau. Kalau cakar, berdarah," katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-61 hari ini.

Menurut Nik Abduh dalam ucapan pertamanya sebagai Ketua Pemuda, meskipun tidak dikurniakan kepetahan untuk berpidato seperti ahli-ahli politik lain, beliau dikurniakan akal serta kepandaian dalam penulisan.

Malah, katanya Allahyarham ayahandanya iaitu bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah memuji penulisan beliau.

"Susahnya hendak saya bercakap di hadapan orang ramai. Walaupun Allah tidak kurniakan saya kelebihan bercakap, tetapi arwah ayahanda saya pernah memuji tulisan saya," ujarnya.

Katanya, Nik Abdul Aziz merupakan seorang yang jarang memuji dan apabila sekali menerima pujian daripada beliau, perasaan itu sangat menggembirakan.

Selain itu, Nik Abduh juga mengakui pernah 'melarikan diri' dari politik untuk menjaga ayahnya yang sakit pada ketika itu, namun takdir telah membawanya kembali ke arena politik.

Beliau juga berkata, tidak menyangka beliau tetap dicalon dan dipilih menjadi ketua pemuda meskipun sifatnya yang pemalu itu.

Nik Abduh telah dipilih menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS selepas menewaskan penyandangnya, Suhaizan Kaiat dengan 429 undi berbanding 262 yang diraih oleh Suhaizan.

Beliau yang mewakili kumpulan ulama itu, dipilih oleh perwakilan Pemuda PAS pada pemilihan sayap parti itu pada 3 Jun lalu.