Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kekal dengan pendiriannya untuk terus bersama dengan UMNO.

“Saya gembira di mana saya berada sekarang,” katanya ringkas, walaupun diaju pelbagai soalan berkaitan isu tersebut.

Pada Ahad Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempelawa Khairy menyertai partinya.

Ketika membuat pelawaan menerusi Twitter, Syed Saddiq berpendapat tindakan berkenaan bagi memperkukuh kedudukan parti yang berhaluan sederhana buat masyarakat Melayu.

Syed Saddiq membuat pelawaan itu selepas Khairy berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempunyai asas apabila mempelawa semua parti Melayu untuk menyertai Bersatu.

BACA: Jangan terus tolak pelawaan Tun M, lihat sudut positif - KJ

BACA: Dr Mahathir ajak semua parti Melayu bergabung bawah satu parti


Pada Jumaat, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad membuat seruan terbuka kepada semua pemimpin dan ahli parti Melayu akan bergabung dalam satu parti dalam usaha menyatukan orang Melayu dan memastikan mereka terus kuat.

Menurut Dr Mahathir, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah-belah.