KUALA LUMPUR:Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari ini menafikan laporan yang mengatakan beliau telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat, beliau berkata kenyataan mengenai penyertaannya ke dalam PKR adalah tidak benar sama sekali.

"Saya kekal bebas dan tidak menyertai mana-mana parti. Saya tidak pernah memohon untuk menjadi mana-mana ahli parti selepas keluar daripada UMNO dan Barisan Nasional pada 27 Jun 2018 yang lalu," tegasnya.

Justeru, Syed Abu Hussin menggesa pihak yang mengeluarkan berita ini supaya menarik balik berita tersebut.

"Pihak yang mengeluarkan berita tidak benar ini seharusnya bertanggungjawab dan menarik balik bagi membersihkan nama saya," katanya lagi.

Terdahulu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam kenyataannya berkata permohonan Syed Abu Hussin menjadi ahli PKR telah dipersetujui pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti itu hari ini (Jumaat).

Dalam kenyataan itu, Farhash Wafa turut mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Bukit Gantang itu ke dalam PKR.

Pada 27 Jun 2018, Syed Hussin mengumumkan keluar daripada UMNO serta Barisan Nasional dan menjadi Ahli Parlimen bebas berkuatkuasa 1 Julai 2018.

Beliau turut mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang.