Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan ucapan berapi yang disampaikan Timbalan Presiden PKR itu pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di ibu negara semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR dalam satu kenyataan pada Isnin mengingatkan supaya jangan menghina parti dan ahli reformis yang berjuang dalam parti itu.

"Janganlah hina parti dan semua ahli reformis yang telah berjuang sama, sampai jamuan makan malam pun tak ajak kami.

"Nak marah sampai hingga lupa yang diserang bukan sebarangan anak Ibrahim, tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim!" katanya.

Beliau mengkritik kenyataan Mohamed Azmin dalam ucapannya yang menyatakan telah berhadapan dengan Zaid Ibrahim dan kemudiannya Khalid Ibrahim namun tidak melabelkan mereka pengkhianat.

BACA: 'Zaid Ibrahim saya dah lawan, Khalid Ibrahim saya dah lawan..' - Azmin

Selain itu, Farhash Wafa turut membidas ucapan Mohamed Azmin dan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang melabelkan beliau sebagai 'mafia' dan membuat sindiran bahawa namanya bukan seperti nama rakyat Malaysia.

"Malaysia ini kan negara majmuk, jadi tidak hairanlah banyak nama pelik. Lebih-lebih saya yang darah kacuk, tapi saya lahir di Ipoh, Perak bukan Singapura.

"Salah sangat ke kalau orang suka warna hitam, sampai dipanggil mafia. Ini orang yang disorak kartel itu perlu ditegur. Istilah kartel memang negatif kalau kita rujuk kamus. Sudah sudahlah tu meroyan di media," kata Farhash Wafa lagi.

BACA: 'Aku pejuang dan kau pengkhianat?' - Azmin Ali

BACA: Saya dan Azmin bersedia dipecat - Zuraida

Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada Ahad malam menyaksikan konflik dalam PKR terus bergelora selepas ucapan demi ucapan oleh pemimpin PKR ditujukan kepada Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perjalanan Kongres Nasional PKR 2019 yang dikatakan gagal.

Selain Mohamed Azmin dan Zuraida, turut memberi ucapan ialah Naib Presiden PKR Tian Chua, Ali Biju, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) R Sivarasa, Timbalan Ketua AMK Hilman Idham dan Ketua Wanita Haniza Talha.