Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyalahkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kegagalan projek jambatan bengkok, sebaliknya mahu Najib menjawab isu berhubung kehilangan wang akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Saya menulis berkenaan 1MDB, tetapi orang cakap 'Oh, dia tidak gembira bukan sebab 1MDB, tetapi sebab jambatan bengkok.'

"Saya tidak suruh singkirkan Perdana Menteri sebab dia terlalu takut dengan Singapura untuk bina jambatan bengkok.

"Saya simpati dengan dia (Najib) sebab dia terlalu lemah dan tidak mampu membina jambatan.

"Itu saya maafkan dia, tapi bila duit hilang dan tidak boleh jelaskan di mana duit itu, saya rasa kamu (Najib) tidak kompeten untuk jadi Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas 'Forum Antarabangsa: Menjenayahkan Perang, Menjana Keamanan' anjuran Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.


Pada masa sama, Mahathir turut mengulangi gesaan kepada pimpinan UMNO untuk menyingkirkan Najib.

Ujar Mahathir, rakyat diberi dua pilihan sama ada mengekalkan Najib yang bakal menjadi punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, atau menyingkirkan Najib sekali gus memulihkan UMNO.

"Kita berdepan dengan pilihan-pilihan ini.

"Sama ada anda singkirkan Perdana Menteri yang gagal, yang akan memimpin UMNO tewas dalam PRU akan datang atau ambil peluang bahawa jika beliau disingkirkan, kita mungkin mampu selamatkan UMNO," ujarnya.


Beliau berkata demikian sewaktu ditanya sama ada berlaku perselisihan faham di antara beliau dan Najib.

Pada 4 April lalu, Mahathir menyatakan pendirian bahawa tempoh perbincangan empat mata di antara beliau dan Najib telah pun tamat selepas mengkritik secara terang-terangan menerusi blognya.

"Saya tidak akan berjumpa dengan Najib, saya dah pun berjumpa beliau dan mereka juga ada menyuruh saya diam dan saya telah pun diam selama empat tahun.

"Kita dah melepasi tahap di mana kita adakan perbincangan secara senyap.. ini langkah terakhir, saya terpaksa buat secara terbuka," tegas beliau.