Saya masuk UMNO? Ini jawapan bekas MB Selangor, Khalid Ibrahim

Saya masuk UMNO? Ini jawapan bekas MB Selangor, Khalid Ibrahim
Khalid mengesahkan beliau masih lagi Ahli Parlimen Bebas. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan beliau masih lagi Ahli Parlimen Bebas.

Bagaimanapun jelas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO dan Pas demi perpaduan serta kepentingan rakyat Selangor.

"Perjumpaan saya dengan Datuk Seri Noh Omar (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor) dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib (bekas Menteri Besar Selangor) bersedia untuk bekerjasama serta melakukan yang terbaik untuk rakyat Selangor.

"Saya akan menggunakan pengalaman dan kemesraan saya dengan rakyat Selangor untuk mereka memilih parti yang layak serta terbaik untuk meneraju Selangor.

"Untuk pengetahuan saya masih lagi Bebas saya rasa ada baiknya saya masih lagi Ahli Parlimen Bebas agar rakyat Selangor tidak khuatir dengan tujuan saya. Malah bukan masanya untuk saya masuk UMNO," katanya sekaligus menjawab teka-teki kehadirannya pada Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Dewan Merdeka , Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ditanya sama ada kerjasama ini juga merupakan perancangan beliau untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Khalid sekali lagi mengulangi pendirian bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

BACA: Rampas Selangor daripada pembangkang baru fikir calon MB - TPM Zahid

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu, beliau datang ke konvensyen tersebut untuk sama-sama berterima kasih atas kerjasama sepanjang saya menjadi menteri besar.

"Rakan di Pas juga saya akan tolong dan beri kerjasama kerana mereka juga banyak membantu saya ketika melaksanakan tugas menteri besar.

"Selain daripada itu, kerjasama ini untuk perpaduan ummah dan bukan untuk mendapatkan kerusia pada PRU14," katanya.

Kehadiran Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang ke Konvensyen UMNO Selangor itu menjadi tanda tanya sama ada beliau telah menyertai parti keramat Melayu tersebut.

Turut kelihatan Khalid duduk di atas pentas sebaris dengan kepemimpinan kanan UMNO Pusat dan Selangor.