Gara-gara terlalu banyak kerusi kosong sepanjang berlangsung sesi perbahasan perwakilan Pemuda UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019), sesi berkenaan dibuka kepada orang ramai tanpa perlu memiliki pas rasmi.

Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda Iszuwan Ismail mengumumkan perkara itu sebelum meminta izin daripada perwakilan-perwakilan di dalam dewan.

“Saya ingin minta izin untuk membenarkan orang luar menyertai kami disebabkan dewan nampak kosong.

“Saya alu-alukan kehadiran orang luar. Penuhkan dewan ini, saya mohon jasa baik,” katanya di sini pada Khamis.

PAU 2019

Perhimpunan kali ini melibatkan seramai 5,603 perwakilan dan daripada jumlah itu, 973 orang adalah perwakilan Pemuda UMNO.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semasa memberi ucapan dasar menggariskan lima pendirian penting sebagai azimat untuk UMNO sentiasa berada pada landasan yang betul.

Pertama, fokus pemerkasaan parti iaitu menyemarakkan agenda Islah, pengkaderan, pentarbiyahan dan pemerkasan dalaman parti.

Kedua, Pemuda mesti terus dengan gerak kerja mengakar, merimbun dan membumi kepada segenap lapisan masyarakat sama ada di kota mahupun di desa.

"Ketiga, menjauhi persengketaan dan mengutamakan permuafakatan sebagai satu keluarga besar yang mendukung wadah perjuangan UMNO.

Keempat, Pemuda UMNO juga, jelas beliau, perlu kekal berdikari dan setia hanya pada institusi dan perjuangan parti bukan individu mahu pun personaliti.

"Kelima, pemuda mesti terus menjuarai agenda rakyat dengan menjadi pembangkang berwibawa, mendengar denyut nadi dan membawa suara hati rakyat secara tegas tanpa rasa takut.

“Isyarat melalui empat PRK yang dimenangi cukup jelas, bahawa rakyat mahu kita kembali, tetapi dengan wajah yang baharu," ujarnya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kapasiti di dalam dewan adalah 3,000 orang dan dewan mampu dimasuki tiga sayap parti.

"Jadi, tiada masalah dari segi korum, bahkan korum kita terlebih banyak," kata Asyraf selepas sesi perbahasan ditangguhkan.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Mohd Hafeez Che Mat, jemputan yang diumumkan oleh timbalan beliau semasa persidangan tersebut adalah terbuka untuk para pemerhati yang berada di luar dewan persidangan untuk memenuhi Ruangan Pemerhati Aras 1 sahaja, dan bukannya di ruang yang dikhaskan kepada perwakilan.

Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Mohd Hafeez Che Mat

Katanya, jemputan tersebut bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada para Pemerhati yang hadir dari seluruh negara untuk turut mengikuti sesi perbahasan usul di dalam dewan.

"Hasrat timbalan saya adalah bertujuan untuk menzahirkan inklusif dan keterbukaan baru yang dilaung dan dianjurkan oleh Pemuda UMNO Malaysia, dan sebarang salah faham berkaitan dengan hal ini sepatutnya tidak berlaku," jelasnya.