'Saya pun kecewa dengan dia orang' - Tun M komen kenyataan Nurul Izzah

'Saya pun kecewa dengan dia orang' - Tun M komen kenyataan Nurul Izzah
DR MAHATHIR: Takpalah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan dia orang. -Gambar fail
ALOR SETAR: "Takpalah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan dia orang."

Itu reaksi perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menzahirkan rasa kecewa dengan prestasi semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam wawancaranya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya.
Dalam kenyataan itu, Nurul Izzah meluahkan isi hati beliau yang sukar bekerja dengan bekas diktator yang dakwanya telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam kehidupan keluarganya, malah pemerintahan negara.

Dalam wawancara itu, Nurul Izzah turut mengumumkan hasratnya untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya selepas penggalnya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tamat.

Nurul Izzah sebelum ini membuat kejutan apabila meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setelah tidak bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir yang mahu mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan kesemua Ahli Parlimen pembangkang yang juga merupakan ahli PAC meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta, Dr Mahathir secara ringkas menjawab: "Tak apalah, dia nak letak jawatan, letaklah. Itu dia punya hal."

Dr Mahathir ditemui selepas Majlis Amanat Khas Perdana Menteri kepada penjawat awam Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Isnin.