Tutup

'Saya sedia disiasat' - Hishammuddin nafi jadi dalang pertemuan MP di rumah Azmin

'Saya sedia disiasat' - Hishammuddin nafi jadi dalang pertemuan MP di rumah Azmin
Beliau berkata, tuduhan tersebut tidak benar sama sekali dan beliau rela disiasat kerana tiada apa yang hendak beliau sembunyikan. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan dakwaan beliau mengetuai pertemuan beberapa Anggota Parlimen malam tadi.

Beliau berkata tuduhan tersebut tidak benar sama sekali dan beliau rela disiasat.

“Tuduhan yang saya mengetuai pertemuan antara Azmin Ali dan Ahli Parlimen pembangkang semalam tidak benar sama sekali. Bukan saya yang rancang pertemuan tersebut.

"Namun, jika lembaga disiplin UMNO nak siasat saya, saya sedia disiasat. Tiada apa saya hendak sembunyikan,” katanya menerusi sebuah muat naik di akaun Twitter miliknya.

Muat naik Hishammuddin di laman Twitter

Beliau berkata demikian bagi membidas dakwaan anggota majlis tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menuduhnya mengetuai pertemuan itu.
Menurut beberapa portal berita dalam talian, Lokman juga mendakwa Hishammuddin sekali lagi telah mengkhianati rakyat Malaysia khususnya pengundi di Tanjung Piai yang baru sahaja memenangkan calon BN dua hari lalu.

BACA: Azmin Ali jumpa Ahli Parlimen PH, BN di Putrajaya malam ini?

Malah, menurut sumber sekurang-kurangnya 22 anggota parlimen BN dan lima Anggota Parlimen PKR hadir pada pertemuan berkenaan yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Putrajaya.

Antara yang dilihat turut berada di kediaman Mohamed Azmin malam tadi ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Mohamed Azmin dan Hishammuddin sebelum ini dikatakan terlibat dalam usaha menggerakkan sokongan Anggota Parlimen terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menggantikannya sebagai perdana menteri.