Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi akhirnya bersuara mengenai keputusannya memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) Perak bagi membentuk kerajaan di negeri itu.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya malam tadi, Nolee berkata keputusannya adalah demi kepentingan rakyat sambil menegaskan bahawa beliau masih ahli Barisan Nasional.

Katanya, BN Perak gagal membentuk sebuah kerajaan dengan kemenangan hanya sebanyak 27 kerusi manakala PAS yang mendapat tiga kerusi tidak mahu berganding dengan BN secara eksklusif.

Bagi menubuhkan kerajaan negeri itu, sesebuah parti memerlukan majoriti mudah sebanyak 30 kerusi daripada 59 kerusi DUN sedia ada.

“Di atas kesedaran itu, saya telah mengambil ketetapan untuk memastikan penubuhan kerajaan mengikut prosedur yang disyorkan, dengan memberi sokongan kepada satu calon Menteri Besar bagi membolehkan proses pembentukan Kerajaan negeri yang baru, yang amat diperlukan oleh rakyat boleh dimulakan.

“Walaupun begitu, saya ingin tegaskan bahawasanya, saya tidak lompat parti dan masih mewakili Barisan Nasional,” jelasnya.

Nolee turut memohon maaf dan mengaku bersedia menerima dan akur dengan sebarang tindakan seterusnya daripada pucuk pimpinan parti.

Sebelum ini, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dilaporkan berkata beliau dan Nolee merupakan dua wakil rakyat BN yang menyokong PH Perak bagi membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

Katanya, demi memastikan rakyat di kawasannya terus terbela, beliau yang juga masih ahli UMNO berpendapat, kerajaan negeri harus selari dengan kerajaan Pusat.



Sementara itu, pengakuan Nolee di Facebook itu menerima pelbagai reaksi dari penyokongnya di media sosial. Ada yang menerimanya dengan positif, tidak kurang juga yang mengecam.

Antara komen yang diterima Nolee di laman Facebook beliau.

Semalam, Ahmad Faizal Azumu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-12 Perak.

Istiadat angkat sumpah itu sekali gus mengakhiri persoalan dan teka-teki selama tiga hari mengenai parti mana yang bakal mengetuai kerajaan negeri itu bermula penggal baharu ini.

Ahmad Faizal, ADUN Chenderiang, merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak.

Keputusan PRU14 yang diumumkan Rabu lalu menyaksikan PH memenangi 29 daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan, menjadikan kerajaan negeri Perak dalam keadaan 'tergantung'.

Bagi menyelesaikan situasi itu, Ahmad Faizal telah mengajak dua ADUN BN Perak melengkapkan majoriti mudah seperti yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini.