Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menyatakan bahawa beliau sendiri tidak mempunyai masalah jika namanya terlibat dalam mana-mana rombakan yang mungkin dilaksanakan kerajaan pada masa akan datang.

Tegasnya, hanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mempunyai hak prerogatif untuk membuat rombakan Kabinet sekiranya ada menteri atau timbalan menteri didapati tidak mampu meneruskan tugas mereka..

Tambah Mahfuz, Dr Mahathir mempunyai pandangan dan pertimbangan beliau sendiri terhadap pelantikan barisan Kabinet yang dipimpinnya.

"Kalau Perdana Menteri melihat seseorang mempunyai kelemahan dan tak berupaya nak diperbaiki, itu hak beliau nak buat rombakan Kabinet, saya tidak ada masalah mengenai sebarang pengguguran nama daripada mana-mana parti, hatta diri saya sendiri pun.

“Orang lain tak buat pertimbangaan, Perdana Menteri yang buat pertimbangan terhadap menteri atau timbalan menteri samada orang itu layak memikul tanggungjawab dan amanah atau tidak,” katanya dalam satu kenyaaan pada Khamis.

Sementara itu beliau menegaskan bahawa di era Malaysia Baru, semua pihak berhak mengemukakan sebarang pandangan dan cadangan terhadap kempimpinan sedia ada.

Tambahnya, kritikan tersebut mampu menjadi platform untuk para menteri dan timbalan menteri sentiasa sedar akan sebarang kekurangan dan membaiki kelemahan mereka.

"Saya fikir itu adalah hak kebebasan yang boleh dibuat mana-mana pihak, tidak menjadi masalah, tetapi akhirnya atas (keputusan) Perdana Menteri,” tambahnya.

Mahfuz berkata demikian ketika hadir menyampaikan sumbangan kepada asnaf peringkat Parlimen Pokok Sena di Masjid Al-Kauthar, Titi Besi pada Khamis.

Sebelum ini, penasihat media perdana menteri, Datuk A Kadir Jasin mencadangkan mana-mana menteri yang kurang menyerlah atau masih merangkak dalam menjalankan tugas, harus meletakkan jawatan secara sukarela.

BACA: Kadir Jasin gesa menteri kurang menyerlah letak jawatan

Jelasnya, tempoh setahun adalah cukup lama bagi mereka untuk belajar cara menjalankan tugas dan amanah bagi memenuhi kehendak rakyat.