"Kalau dengar cerita angin datang bawa berita yang meminta saya untuk melepaskan jawatan, sampaikan salam saya pada kumpulan tersebut, i'm staying put (saya tidak akan berundur)," ujar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas isu NGO, Pertubuhan Rangkaian Organisasi (PRO98) Reformis Malaysia Perak yang menggesa beliau untuk berundur dari jawatannya kerana didakwa terpalit dengan amalan kronisme serta ketirisan dalam pentadbiran.

Tegasnya, beliau selaku Menteri Besar sama sekali tidak mengamalkan kronisme sebagaimana yang didakwa pihak tersebut serta belum membaca isi kandungan memorandum yang disampaikan oleh mereka hari ini.

"Pertamanya saya tak percaya saya mengamalkan kronisme, yang keduanya saya tak tahu siapa PRO98 dan ketiganya saya belum baca lagi memorandum ini.

"Tapi kalau dengar dengar cerita, angin datang bawa berita yang meminta saya untuk melepaskan jawatan, sampaikan salam saya pada kumpulan tersebut," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di program Perak Oxygen Land Bank, di sini pada Rabu.

Terdahulu Setiausaha PRO98 Reformis Malaysia Perak, Sazali Samsudin dalam satu sidang media mendesak Ahmad Faizal berundur dari jawatannya itu bagi memulihkan keyakinan rakyat dan penyokong Pakatan Harapan negeri itu.

Dakwanya, terlalu banyak kelemahan dan isu yang terjadi termasuk amalan kronisme dalam mengisi pelbagai jawatan agensi kerajaan dan kepimpinan kerajaan tempatan.