Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan beliau tidak menggunakan jentera kerajaan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, sebaliknya kehadiran beliau di sini adalah sebagai Presiden PKR.

Beliau berkata polis yang mengiringi beliau sepanjang perjalanan ketika berkempen untuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bukanlah diminta sebaliknya ia tanggungjawab pihak polis untuk menjaga keselamatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Saya sedia maklum memang tidak boleh guna jentera kerajaan untuk berkempen, saya datang ke sini selaku Presiden PKR.

"Yang lain-lain polis itu semua kerana jawatan saya. Kata mereka (polis) itu adalah tanggungjawab mereka ke atas saya," katanya.ketika berucap pada Program Temu Mesra bersama kira-kira 50 penduduk Kampung Pengkalan Durian, Linggi dekat sini, hari ini.

Sementara itu, dalam pertemuannya bersama komuniti Cina Air Kuning, Linggi pula, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memberi jaminan akan melihat semula bantuan ibu tunggal yang dipotong atau dihentikan.

"Saya dimaklumkan oleh Pengerusi PKR Air Kuning Liew Sai Tet bahawa sekarang ada masalah kerana ada ramai ibu tunggal yang dahulunya dapat bantuan tetapi sekarang telah dipotong.

"Saya akan tengok bagaimana kita boleh tolong tetapi kita kena ingat hutang negara pun banyak, sebab itu kena imbangi. Bagaimanapun orang susah tetap kita akan tolong," katanya.

Dalam pada masa sama, Dr Wan Azizah turut merayu agar rakyat di sini pergi mengundi pada 13 Okt ini dan mengundi Anwar bagi membolehkan Anwar kembali ke Parlimen dan membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara.

"Kita mahu ekonomi negara kita lebih kuat dan kukuh, Anwar pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik pada tahun 90-an dan beliau dapat membantu untuk mengukuhkan lagi ekonomi negara apabila kembali ke Parlimen," katanya.