Salah seorang calon Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin menafikan beliau sudah melencong dari perjuangan asal beliau ketika berada di univeristi dan ketika menyertai parti.

Sebaliknya ahli parlimen Hang Tuah Jaya itu menegaskan beliau masih sama seperti dahulu dan tidak pernah berubah dari perjuangannya.

"Saya masih seperti dulu, masih kekal dengan perjuangan ini dan tidak pernah melencong.

"Saya rasa orang mengata saya melencong itu lah sebenarnya yang melencong," katanya ketika menjawab soalan seorang lagi calon Naib Presiden, Datuk Johari Abdul semasa program Debat Calon Naib Presiden PKR di Astro AWANI malam tadi.

Selain Shamsul dan Johari, debat ini juga disertai oleh dua lagi calon Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar.

Shamsul juga menjelaskan Malaysia Baharu yang sedang dilalui seluruh rakyat hari ini ialah Malaysia yang adil, demokrasi, inklusif dan lestari.